Search This Blog

Wednesday 12 July 2017

SEJENAK DENGAN HADITH 9

1 Hari 1 Hadis:
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Beriman Menuntut Memuliakan Tetamu dan Menyambung Silaturahim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia memuliakan tetamunya, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah ia menyambung tali silaturahim, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia berkata baik atau diam." (HR Bukhari No: 5673) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Memuliakan tetamu adalah antara syarat orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

2.  Menyambung hubungan silaturahim dengan kerabat adalah tanda orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

3.  Tanda orang beriman kepada Allah dan hari akhirat juga apabila bertutur atau bercakap, ia akan bertutur sesuatu yang baik dan mendatangkan pahala (termasuk sesuatu yang ditulis dan di forward).

4.  Jika sesuatu yang akan dituturkan atau yang ditulis dan di forward, mendatangkan mudarat dan keburukan, lebih baik kita berdiam diri. 

5. Muliakan tetamu dan sentiasa menyuburkan tali persaudaraan dan menyambung silaturahim.

Ambillah peluang sempena Syawal untuk mengeratkan silaturahim dengan ahli keluarga  melalui kunjung-mengunjung sesama kita. Jadikanlah tuturkata kita sesuatu yang berfaedah dan mendatangkan pahala.

SEJENAK DENGAN HADITH 8

1 Hari 1 Hadis:
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Memuliakan Tetamu

عَنْ أَبِي شُرَيْحٍ الْكَعْبِيِّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ جَائِزَتُهُ يَوْمٌ وَلَيْلَةٌ وَالضِّيَافَةُ ثَلَاثَةُ أَيَّامٍ فَمَا بَعْدَ ذَلِكَ فَهُوَ صَدَقَةٌ وَلَا يَحِلُّ لَهُ أَنْ يَثْوِيَ عِنْدَهُ حَتَّى يُحْرِجَهُ

Dari Abi Syuraih al-K'bi, Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia memuliakan tamunya dan menjamunya siang dan malam, dan bertamu itu tiga hari, lebih dari itu adalah sedekah baginya, tidak halal bagi tamu tinggal (bermalam) hingga mengeluarkannya." (HR Bukhari No:  5670) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat sentiasa beradab terhadap tetamu yang datang ke rumahnya

2.  Memuliakan tetamu yang datang adalah dituntut antaranya dengan menyediakan jamuan atau makanan untuknya walaupun seteguk air.

3.  Tetamu yang berkunjung tidak boleh terlalu lama menjadi tetamu. Jika bermalam tidak boleh melebihi tiga malam.

4. Bulan Syawal menjadi kebiasaan dalam masyarakat untuk kunjung mengunjungi dan ziarah menziarahi. Ambillah peluang untuk mengukuhkan hubungan ukhuwah.

Terimalah tetamu dan muliakan mereka dengan menyediakan makanan dan minuman sebaiknya untuk tetamu.

SEJENAK DENGAN HADITH 7

1 Hari 1 Hadis:
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Sunat Enam Syawal 

عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Dari Abu Ayyub Al-Ansari RA bahawa ia telah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:"Barang siapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan puasa enam hari dari bulan Syawal maka seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun.” (HR Muslim No: 1984). Status: Hadis Sahih

Pengajaran :

1.  Kewajipan mukmin melaksanakan ibadat puasa sebulan Ramadan.

2.  Orang yang berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan dan diikuti puasa sunat Syawal sebanyak enam hari, seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun.

3.  Puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, tidak semestinya dilakukan enam hari berturut-turut. Puasa sunat Syawal boleh bermula pada dua hari raya eidil fitri atau bila-bila masa pada bulan Syawal sehingga 30 hb Syawal.

Marilah dalam kemeriahan kita meraikan hari raya, jangan lupa puasa sunat enam hari Syawal.

Jadilah kamu seorang Rabbani (hamba Allah yang selalu beribadah kepada-Nya di setiap waktu dan tempat), dan janganlah kamu menjadi seorang Ramadani (orang yang hanya beribadah kepada-Nya di bulan Ramadan)

SEJENAK DENGAN HADITH 6

1 Hari 1 Hadis:
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Semarak Ukhuwah Dengan Ucapan Salam Dan Bersalaman

عن حذيفة بن اليمان ، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال إِنَّ المُؤْمِنَ إِذَا لَقِيَ الْمُؤْمِنَ فَسَلَّمَ عَلَيهِ وَأَخَذَ بِيَدِهِ فَصَافَحَهُ تَنَاثَرَتْ خَطَايَاهُمَا كَمَا يَتَنَاثَرُ وَرَقُ الشَّجَرِ

Daripada Huzaifah al-Yaman RA daripada Nabi SAW baginda bersabda: “Jika seorang mukmin bertemu dengan mukmin lainnya lalu mengucapkan salam kepadanya dan mengambil tangannya lalu menjabatnya, maka berguguranlah dosa-dosa mereka seperti gugurnya daun-daun dari pepohon”   (HR at-Tabrani No: 250) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Satu daripada adab yang perlu dilaksanakan apabila bertemu sesama Muslim ialah mengucapkan salam.

2.  Ucapan salam juga tanda kecintaan kepada sesama Muslim. Dari Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

“Kalian tidak akan masuk surga hingga kalian beriman. Dan kalian tidak dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku beritahu dengan sesuatu yang apabila kalian lakukan kalian akan saling mencintai? (yaitu) sebarkanlan (ucapkanlah) salam diantara kalian.” (HR. Muslim) Status: Hadis Sahih

3.  Berjabat tangan adalah ibadah yang disyariatkan ketika bertemu dan berpisah

4.  Berjabat tangan juga menjadi sunnah para sahabat, sebagaimana digambarkan dalam riwayat berikut :

عَنْ قَتَادَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ قُلْتُ لِأَنَسٍ أَكَانَتْ الْمُصَافَحَةُ فِي أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَعَمْ

Dari Qatadah ra, aku berkata kepada Anas bin Malik, “Apakah berjabat tangan selalu dilakukan oleh para Sahabat Rasulullah SAW?” Anas menjawab, “Ya”. (HR. Bukhari)

5.  Ibn Hajar mengatakan, “berjabat tangan adalah melekatkan telapak tangan pada telapak tangan yang lain.” (Fathul Bari, 11/54).

Menurut Imam An Nawawi dalam al-Adzkar - ditahan beberapa saat, selama rentang waktu yang cukup untuk menyampaikan salam.”

6.  Muslim yang berjabat tangan apabila bertemu akan menggugurkan dosa-dosanya seperti dedaun

Ambillah kesempatan sempena Syawal ini untuk saling kunjung-mengunjung,  ambil kesempatan mengucapkan salam dan bersalaman sesama jantina yang dibenarkan syarak.

SEJENAK DENGAN HADITH 5

1 Hari 1 Hadis:
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Semarak Ukhuwah Dengan Bersalaman Mengampunkan Dosa

عَنْ أَبِي إِسْحَقَ عَنْ الْبَرَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا

Dari Abu Ishaq dari Al-Bara` ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah dua orang Muslim bertemu lalu saling berjabat tangan, melainkan diampuni bagi keduanya sebelum keduanya berpisah” (HR Abu Daud: No 4536) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ambil peluang sempena Syawal ini saling ziarah menziarahi, bertemu dan bersua muka antara satu sama lain

2.  Ketika bertemu sesama Muslim, ambil peluang saling berjabat tangan (pastikan bukan berlainan jantina yang dilarang)

3.  Allah akan mengampuni dosa dua orang Muslim yang bertemu dan berjabat tangan, sebelum mereka berpisah.

Marilah kita  saling bersalaman dan bermaafan. Firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 22:

وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

#Semarak Ukhuwah Memacu Perubahan#
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

28hb Jun  2017
04hb Syawal 1438H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram

SEJENAK DENGAN HADITH 4

1 Hari 1 Hadis:
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Semarak Ukhuwah Dengan Berjabat Tangan & Berhadiah

عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي مُسْلِمٍ عَبْدِ اللَّهِ الْخُرَاسَانِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَافَحُوا يَذْهَبْ الْغِلُّ وَتَهَادَوْا تَحَابُّوا وَتَذْهَبْ الشَّحْنَاءُ

Dari 'Atha bin Abu Muslim Abdullah Al-Khurasani berkata,  Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kalian saling berjabat tangan, dengan begitu akan menghilangkan kebencian, dan hendaklah kalian saling memberi hadiah nescaya kalian akan saling mencintai dan menghilangkan perasaan dendam” (HR Malik No: 1413) Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Berjabat tangan akan melahirkan perasaan kasih, “mengeratkan” ukhuwah Islamiyah diantara sesama muslim.

2.  Berjabat tangan akan menghilangkan permusuhan dan kedengkian di dalam hati, menghilangkan rasa “al-ghil” (perasaan tidak suka).

3.  Berusaha untuk memulai berjabat tangan terlebih dahulu ketika saling bertemu. Rasulullah SAW merupakan orang yang terlebih dahulu memulai berjabat tangan apabila bertemu sahabat

4.  Bersalaman merupakan bentuk penghormatan, kita dianjurkan untuk membalas penghormatan dengan cara yang lebih baik dari penghormatan yang dilakukan oleh saudara kita. Apabila saudara kita mengucapkan salam, maka hendaknya kita balas dengan salam serupa atau yang lebih baik (lebih sempurna) dari salamnya, dan jika ia menjabat tangan, maka hendaknya kita membalasnya dengan jabatan tangan yang lebih erat dan lebih hangat kepadanya. Dalam sebuah riwayat disebutkan :

عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضيَ اللهُ عَنْهُ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مِنْ تَمَامِ التَّحِيَّةِ الْأَخْذُ بِالْيَدِ

Dari Abdullah bin Mas’ud RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Diantara bentuk penghormatan yang paling sempurna adalah berjabat tangan.” (HR. Tirmizi)

5.  Saling memberi hadiah akan melahirkan perasaan kasih dan sayang sesama kita. Memberi duit raya kepada kanak-kanak akan melahirkan rasa kegembiraan dan kasih sayang.

6.  Saling memberi hadiah menghilangkan perasaan dendam dan marah. Alangkah elok bagi yang muda menziarahi orang tua di musim perayaan dengan memberi hadiah kepada mereka sama ada berbentuk wang ringgit mahupun kueh mueh.

SEJENAK DENGAN HADITH 3

1 Hari 1 Hadis:
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Semarak Ukhuwah Untuk Dicintai Allah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَعَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ رَجُلًا زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى فَأَرْصَدَ اللَّهُ لَهُ عَلَى مَدْرَجَتِهِ مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ قَالَ أَيْنَ تُرِيدُ قَالَ أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ قَالَ هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا قَالَ لَا غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ فَإِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكَ بِأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ

Dari Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, "Pada suatu ketika ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di desa lain. Kemudian Allah pun mengutus malaikat untuk menemui orang tersebut. Ketika orang itu ditengah perjalanannya ke desa yang dituju, maka malaikat tersebut bertanya; 'Hendak pergi ke mana kamu? ' Orang itu menjawab; 'Saya akan menjenguk saudara saya yang berada di desa lain.' Malaikat itu terus bertanya kepadanya; 'Apakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dengannya? ' Laki-laki itu menjawab; 'Tidak, saya hanya mencintainya kerana Allah Azza wa Jalla.' Akhirnya malaikat itu berkata; 'Sesungguhnya aku ini adalah malaikat utusan yang diutus untuk memberitahukan kepadamu bahawasanya Allah akan senantiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah.' (HR Muslim No: 4656) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara tanda mengasihi saudara dan sahabat ialah berusaha menziarahi mereka dengan ikhlas.

2.  Allah sentiasa mencintai kepada orang yang mencintai dan mengasihi orang lain kerana Allah.

3. Ziarah dan kunjungi saudara mara dan sahabat handai semata-mata kerana Allah untuk mengeratkan silaturahim dan ukhuwah.

4. Marilah kita saling mengunjungi  sanak saudara dan sahabat handai khususnya di bulan Syawal. Tidak perlu kita menunggu rumah terbuka.  Carilah ruang masa menziarahi saudara-mara, kerabat dan sahabat kita sebagai tanda kita mengasihi mereka.

Moga kecintaan dan kasih sayang kita kepada kerabat dan sahabat handai akan menjadikan kita dikasihi dan dirahmati Allah.

5. Semarakkan Silaturahim dan Ukhuwah Bagi Memacu Perubahan Masyarakat dan Negara.